Tuesday 3 October 2017

1 TEAM COMMUNITY CLUB @ M&G GROUP CHARITY ANNUAL DINNER 2017

2 Oktober 2017 (Isnin) NEWS SABAH TIMES
OLEH JOANES ROBERT JOHNNY

KOTA KINABALU: Kelab Kebajikan 1 Komuniti atau lebih dikenali sebagai 1Team Community Club telah berjaya mengadakan Majlis Reunion dan Makan Malam Amal di sebuah hotel terkemuka di sini, Sabtu lalu.

Kelab yang turut dikenali sebagai Multigeneration Group (M&G Group) itu turut mengundang sebuah badan kebajikan dari daerah Tuaran, Rumah Kanak-Kanak Jireh Home sebagai penerima sumbangan amal mereka sempena acara tahunan mereka itu.

Menurut Pengerusi Penganjur majlis yang juga Presiden M&G Group, Clay Davis, kelab berkenaan mengamalkan matlamat menjalankan aktiviti kebajikan sekaligus membantu golongan memerlukan di samping merapatkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan dalam kalangan ahlinya menerusi kebajikan dan riadah.

"Majlis ini diadakan setiap tahun bagi meraikan ahli kelab dan mengiktiraf para penaja di samping menyumbang derma amal kepada badan kebajikan yang memerlukan," katanya.

Jelasnya, kehadiran para ahli pada malam itu secara tidak langsung turut menyumbang kepada aktiviti berkenaan kerana sebahagian daripada hasil jualan tiket malam itu akan disumbangkan kepada Jireh Home.

Selain memberi sumbangan amal, malam itu turut diadakan pengiktirafan kepada para pemain bola sepak dan futsal yang bernaung di bawah kelab berkenaan.

"Kelab ini mempunyai tiga kumpulan sukan iaitu M&G SC (bola sepak), M&G FT (futsal lelaki) dan Gsport (futsal wanita).

Beliau turut memuji kemampuan M&G FT yang berjaya meraih hadiah naib johan pada kejohanan monthly medal anjuran Borneo Sports Arena (BSA) Kolombong baru-baru ini.

"Dalam kesempatan ini juga, pihak M&G ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penaja kelab tidak kira organisasi mahu pun individu yang telah memberi sokongan dari segi khidmat nasihat mahu pun barangan keperluan sukan dan sebagainya," ujar beliau. Clay turut menghargai bantuan serta nasihat daripada Timbalan Presiden 1, Freddy Jami. walaupun tidak sempat bersama-sama mereka pada majlis tersebut atas komitmen lain.


Antara yang menyumbang pada majlis bertemakan Glamorous Night tersebut ialah MCA (Malaysian Chinese Association), Sabah Drone Club, Giant Holding Sdn. Bhd, Chanteek Borneo Gallery, Cowboy Grill & Bar dan 689 Enterprise.

Antara aktiviti malam itu adalah sesi suai kenal dan makan malam, pendaftaran rasmi melalui borang (ROS) kepada ahli M&G Group, persembahan kebudayaan, nyanyian dan tarian, slot penghargaan kepada para penaja, slot penghargaan kepada enam orang pemain setiakawan terbaik M&G SC, King & Queen Of The Night, Random Quiz dan Cabutan Bertuah.

Untuk rekod, Multigeneration Group merupakan sebuah pertubuhan berdaftar yang ahlinya terdiri daripada pelbagai lapisan umur, bangsa dan agama, ditubuhkan pada tahun 2013.

Turut hadir Timbalan Pengerusi M&G Group, Annie Lee, dan Timbalan Ketua Pengerusi MCA Bahagian Tuaran, Robert Sim.

PEMBANGUNAN WANITA